Ahad, 29 Julai 2012

BBQ D'Ramadan

 
Fasa pertama dalam bulan Ramadan iaitu fasa pemberian rahmah bakal berakhir.  Malam yang ke sembilan di bulan Ramadan, selepas tarawih saya dan keluarga mengambil kesempatan melakukan aktiviti santai iaitu memanggang BBQ. Sekadar mengisi masa lapang bersama keluarga. Mudah-mudahan hubungan kami bertambah erat.

Kenangan di malam Ramadan
Telatah anak saudara yang comel
Lagak anak saudara
BBQ Ayam
Siap untuk dimakan
Mmm...enaknya


Rabu, 25 Julai 2012

Iftar Didahulukan, Solat Diutamakan


Tersandar seketika di sofa. Oleh kerana perut telalu kenyang, tubuh terasa berat untuk menunaikan solat sedangkan waktu magrib hampir luput. Namun mulut masih belum berhenti mengunyah sambil menikmati rancangan di televisyen. Belum sempat nasi dihadamkan, makanan lain pula disumbatkan ke dalam mulut. 

Itulah situasi yang sering berlaku kepada segelintir masyarakat seusai iftar (berbuka puasa). Mungkin hal yang sama pernah berlaku dalam kehidupan kita di bulan Ramadan yang berbahagia ini.

Kelaziman masyarakat, setelah kedengaran azan maghrib mereka akan berbuka dengan pelbagai juadah dan hidangan seperti nasi, kuih muih dan sebagainya selain dari buah kurma. Akibat terlalu banyak mengambil makanan, perut menjadi kenyang lalu kelewatan untuk mengerjakan solat maghrib. 



Bermula dari tahun yang lepas, saya sekeluarga cuba lari dari kelaziman tersebut. Kami berbuka dengan buah kurma dan air seperti mana yang pernah dilakukan oleh Rasulullah. Sejurus selepas solat magrib berjamaah di surau baru kami akan menikmati hidangan yang berat seperti nasi dan sebagainya. 

Pesan ayah, “cuba kita mencontohi amalan Rasulullah yakni berbuka dengan buah kurma dan air sahaja. Selepas solat baru kita makan makanan yang lain.” Saranan itu berjaya mengelakkan kami dari melengahkan sembahyang.


Alhamdulillah di masjid, para jamaah turut mengikuti jejak langkah kami atas saranan ayah. Saya percaya, masyarakat hari ini juga mampu berubah dari kebiasaan kepada mengikuti amalan sunnah nabi sewaktu berbuka. Kesedaran dan kefahaman yang jelas harus dibentuk agar perubahan dapat direalisasikan. “Iftar didahulukan, solat diutamakan.”

Sabtu, 21 Julai 2012

Dia kembali

“Nama saya syaa’ban. Saya ingin mengingatkan anda bahawa jiran saya iaitu Ramadan akan datang mengunjungi anda tidak lama lagi bersama isterinya iaitu rezeki dan kedua-dua anaknya iaitu sahur dan iftar. Mereka akan ditemani  oleh ketiga-tiga cucunya iaitu rahmat, barakah dan keampunan. Mereka akan pulang selepas 30 hari dengan menaiki pesawat penerbangan Eidul Airlines. Jadi hargailah mereka moga-moga mendapat pahala yang berganda.” Tersenyum saya apabila membaca mesej (sms) daripada seorang sahabat sehari sebelum bermulanya Ramadan. Saya membalas sambil berjenaka,”Bapa mertua dia tak ikut sekali ke?”
Menjelang Ramadan bermacam-macam mesej yang diterima mengikut kretiviti penulisan masing-masing. Ada yang menulis seperti sajak, pantun, analogi dan pelbagai bentuk yang lain. Namun apa yang cuba disampaikan tidak banyak bezanya. Semuanya menjurus kepada peringatan agar bersedia menyambut Ramadan.

Ramadan kembali lagi. Di bulan keberkatan inilah seharusnya kita mengisi ruang waktu dengan memperbanyakkan ibadah dan mengikis karat-karat jahiliah yang selama ini telah mengotorkan jiwa. Tingkatkan ibadat dan jauhi segala maksiat.
Saya tertarik dengan satu kata-kata. “Ramadan ini merupakan kem latihan. Tempat kita mengumpul kekuatan jiwa dan belajar bagaimana mengawal nafsu yang ganas.” Apabila keluar dari bulan Ramadan diharapkan kita dapat mengekalkan momentum sedia ada. Bukannya kembali ke tabiat yang lama iaitu kian culas melakukan ibadat dan sering mengikut kehendak nafsu amarah.
Semoga Ramadan kali ini lebih baik dari bulan Ramadan yang lalu. Jadikan Ramadan kali ini sebagai satu medium untuk kita mengislahkan diri menjadi mukmin bertaqwa.

Jumaat, 20 Julai 2012

Erti Hidup Pada Memberi


“Erti hidup pada memberi.” Demikian ungkapan yang tertera di laman maya Saifulislam.com kepunyaan Ustaz Hasrizal. Kata-kata yang sarat dengan mesej yang berguna walaupun ringkas. 

Kehidupan akan terasa kosong andai tiada amal dan bakti yang kita beri. Kita harus merebut peluang dalam melakukan kebaikan sebelum ajal menjemput pergi. Seperti senikata yang terkandung dalam lagu nyanyian Allahyarham Zubir Ali, “Banyak bakti yang dapat diberi sepanjang hidup yang sesingkat ini…”

Lantaran itu, saya menyambut peluang untuk turut serta bersama rakan-rakan dari UUM dalam menjalankan kem motivasi sebagai fasilitator di SMA Maarif, Besut, Terengganu. Saya percaya inilah salah satu platform untuk saya mencurahkan bakti kepada masyarakat khususnya golongan pelajar yang bakal menuju ke menara gading.


Antara sekolah yang tersenarai dalam catatan sejarah saya


Kenangan bersama para pelajar SMA Maarif 12-14 Julai 2012
 Ruang dan peluang yang ada saya gunakan untuk berkongsi ilmu dan pengalaman. Bagi saya hidup ini tidak perlu lokek ilmu kerana sebanyak mana yang kita beri tidak akan luak walaupun sedikit. 

Sepanjang program selama 3 hari 2 malam, banyak ilmu dan pengalaman yang berjaya dikutip. Namun hati sedikit terusik apabila mendapat tahu kami antara pihak yang terawal yang melakukan program seperti ini di SMA Maarif. Harapan saya semoga kami dapat membuka jalan bagi generasi yang akan datang untuk melakukan perkara yang sama di bumi Terengganu ini.

Sabtu, 7 Julai 2012

Kehidupan


“Hidup ini umpama pelayaran di lautan. Kita adalah nakhodanya. Al-Quran dan Sunnah pula ibarat kompas dan peta. Tanpanya maka sesatlah kita.” Mmm…satu analogi yang menarik untuk kita renungkan bersama.

Sebagai nakhoda atau pemimpin, kita harus bijak menentukan haluan hidup kita. Andai kita berlayar mengikut panduan yang diberi oleh Rasulullah maka selamatlah kita. Namun jika kita hanya mengikut telunjuk nafsu dan syaitan, maka terpesonglah kita dari kebenaran.

Perjalanan ini tidak pernah sunyi dari mehnah yang memeritkan. Ombak derita sentiasa menduga. Hanya orang yang sabar mampu bertahan kerana yakin dan percaya jalan keluar pasti ada.

Seringkali saya mendengar pengisian atau ceramah dari para murabbi. “Dunia ini tempat kita diuji. Dunia adalah neraka bagi orang mukmin tetapi syurga bagi orang kafir. Begitulah sebaliknya. Akhirat ialah syurga bagi orang mukmin tetapi neraka bagi orang kafir.”

Kenapa pula begitu? Kerana seteruk mana pun kesengsaraan bagi orang kafir di dunia ini, ia tidaklah seberat azab yang bakal mereka terima di akhirat kelak. Kata-kata itu menjawab persoalan yang berlegar di minda.

Bila berhadapan dengan kesulitan, saya selalu bermonolog dengan diri. “Bersabarlah…semua ini ada hikmahnya. Derita ini cuma sedikit ibarat setitis air jika hendak dibandingkan dengan nikmat kurniaanNya yang seluas lautan.” Sedikit sebanyak ia dapat mengurangkan rasa resah dan perit sekaligus menginsafkan diri agar memperbanyakkan syukur.

     Kata orang kesusahan itu takkan berpanjangan. Suka dan duka silih berganti. Allah datangkan kesenangan, merawat calar di jiwa, menambah rasa bahagia. Namun harus beringat mungkin kesenangan itu adalah ujian. Ujian yang bakal menilai sama ada kita bersyukur atau kufur.