Sabtu, 15 September 2012

Kenali 4 Umar: Detik 916 Umar Mukhtar


Jika disebut 16 September  pasti ramai yang mengetahui tarikh keramat tersebut ialah peristiwa penting bagi rakyat Malaysia. Namun apakah kita mengetahui terdapat peristiwa lain yang berlaku pada tarikh yang sama. 16 September merupakan tarikh pemergian seorang pejuang Islam yang bernama Umar Mukhtar atau dikenali sebagai Singa Padang Pasir.

Rasa ingin tahu

Umar Mukhtar-Tokoh pejuang kemerdekaan
Hati saya berbisik, “siapa Umar Mukhtar ni?” Perasaan ingin tahu itu tercetus sewaktu emak memberitahu bahawa terdapat sebuah filem yang berkisarkan tentang sejarah pahlawan Libya itu. “ Semasa lawatan di Kedutaan Libya dulu, mak pernah tengok filem Umar Muktar ni. Masa tu masih student UKM lagi,” kata emak.

Bila layan Youtube, tiba-tiba terdetik nak tengok cerita tentang Umar Mukhtar. Namun line internet yang slow memudarkan semangat untuk terus menonton filem tersebut hingga ke hujung cerita. Mujur filem tersebut ditayangkan di TV Al-Hijrah pada februari lalu. Dapat juga mengetahui cerita dari pangkal hingga ke hujung kisah.

            Rasa ingin tahu akan sejarahnya tidak terhenti sekadar itu sahaja. Saya cuba mencari informasi mengenai sejarah kehidupannya di laman maya. Beliau merupakan seorang perwira yang tidak pernah mengenal erti kekalahan. Biarpun mati di tali gantung, namun beliau tetap mempertahankan prinsipnya. Seperti satu kata-kata “Biar hidup mulia, mati sebagai syuhada.” Bila mengenangkan perjuangannya, saya teringat satu kata-kata sahabat nabi kepada golongan kuffar, “kami mencintai syahid sebagaimana kamu mencintai hidup.”

Apa kaitan Singa Padang Pasir dengan Anthony Quinn?

Anthony Quinn


Bagi mengenang jasa Umar Mukhtar yang telah bermati-matian dalam membebaskan Libya dari cengkaman kuasa Itali, sebuah filem mengenainya telah diterbitkan. Kos pembikinan filem tersebut telah  ditanggung oleh kerajaan Libya. Pada masa itu Libya masih dipimpin oleh Muammar Gaddafi.

      Teraju utama bagi filem ini ialah Anthony Quinn yang memainkan watak sebagai Umar Mukhtar. Tanggapan awal saya sewaktu mula-mula menonton filem ini, Anthony Quinn ialah seorang yang bebangsa Arab yang beragama Islam. Namun sangkaan itu meleset. Beliau merupakan salah seorang  pelakon dari Hollywood. Teknologi yang canggih  berjaya merubah wajahnya seakan-akan seperti Umar Mukhtar. Ini menghidupkan lagi watak beliau sebagai  Lion of the Desert.

Lawan tetap lawan biarpun syahid di tali gantung.

916 dan tali gantung

Setelah bertahun-tahun bertempur dengan pihak Itali, akhirnya Umar Mukhtar telah ditangkap dan dihukum bunuh. 16 September 1931 telah menyaksikan Umar Mukhtar telah syahid di tali gantung. Peristiwa bersejarah itu disaksikan sendiri oleh penduduk negara Libya.

            Walaupun pejuang Islam itu dizalimi dan disakiti, namun namanya tetap segar di ingatan jutaan orang hingga ke hari ini. Berbanding dengan musuh yang telah menyakiti dan menghukum Umar Mukhtar, mungkin hanya beberapa orang sahaja yang masih mengenali dan mengingatinya. Sesungguhnya Allah telah mengangkat martabat orang-orang yang berjuang di jalanNya di mata manusia.

Khamis, 13 September 2012

Jauh terpisah


Cuba ku sembunyikan rasa gundah
Saat kita jauh terpisah
Terbayang wajahmu nan indah
Gigih berbakti tak mengerti lelah

Di bumi asing ini ku berdiri
Melalui hari tanpa kau disisi
Sungguhpun kau tak dapatku lihat
Namun masih terasa dekat

Dari jauh ku dengar suaramu
Bertanyakan diriku apa khabarmu
Aku disini sihat selalu
Ku harap kau jua begitu

Pesanmu mengubat lara di jiwa
Saatku  diuji ombak derita
Katamu teguhlah dalam perjuangan
Ada sinar menanti di hadapan

Ingin ku dakap erat tubuhmu
Agar terlerai rindu di kalbu
Akan ku kembali bila tiba waktu
Dengan izinNya pasti kita bertemu

Tajuk: Jauh Terpisah
Lirik/Lagu: Sof Murabbi

Sebuah lagi karya yang saya nukilkan khusus buat teman-teman yang berada di rantau orang. Kehidupan sebagai perantau sedikit sebanyak pasti menggamit rasa rindu kepada keluarga khususnya ibu dan ayah.

Saat kita bekerja atau belajar, kadang-kala terdetik rasa rindu kepada ibu dan ayah. Itulah tanda cinta dan kasih-sayang kita kepada mereka. Namun diharapkan rasa rindu itu bukanlah menjadi pelebur semangat bahkan menjadi penguat semangat bagi kita yang sedang berjuang mengejar cita-cita yang kita impi.


Adat orang berjuang baik yang masih menimba ilmu mahupun yang telah masuk ke alam pekerjaan pasti akan berhadapan dengan bermacam-macam rintangan. Susah dan senang itulah rencah kehidupan. Hidup takkan terasa nikmatnya andai kita hanya merasai perkara yang indah. Allah telah menjadikan pahit dan maung sebagai pelengkap rasa, mewarnai kehidupan sebagai seorang manusia.

Sebagai seorang anak, walau di mana pun kita berada sama ada dalam keadaan susah ataupun senang, kenanglah jasa dan bakti ibu-ayah kita yang selama ini dicurahkan demi melihat kebahagiaan anak-anak mereka di hari muka. Pulanglah bertemu dengan mereka walaupun sebentar. Sesungguhnya keprihatinan kita menandakan kita masih punya rasa sayang kepada mereka.