Selasa, 29 Januari 2013

Tarbiyah Dzatiyah lagi...

Setiap manusia yang bukan maksum pasti tidak pernah terlepas dari melakukan dosa. Manusia sentiasa bergelumang dengan kelalaian dan kealpaan. Oleh yang demikian, usaha memperbaiki diri melalui Tarbiyah Dzatiyah amatlah penting ke arah menuju kehidupan yang lebih baik. Setiap individu lebih mengetahui keaiban sendiri dan kemaksiatan yang dilakukan.  Andai tiada usaha penambahbaikan pada diri, maka diri mudah tergelincir dari landasan yang benar. Jiwa menjadi sakit sehingga menutup pintu hati dari ditembusi cahaya hidayah.



            Tarbiyah Dzatiyah merupakan bekal dalam mendepani fitnah dunia. Ia juga merupakan senjata dalam menangkis pujuk rayu musuh yang utama iaitu syaitan dan nafsu. Ia mampu membuatkan individu muslin terus thabat atau teguh di atas jalan iman dan petunjukNya. Umpama sebuah pohon yang kuat akarnya, walau angin kencang bertiup, ia tetap kukuh. 


            Setiap yang bergelar daie atau pendakwah harus menjaga akhlak dan dan menunjukkan tauladan yang baik. Untuk membentuk qudwah atau ikutan yang baik, seorang daie itu tidak boleh hanya bergantung harap kepada majlis ilmu sahaja seperti ceramah, usrah dan lain-lain. Seorang daie itu harus membentuk keperibadiannya melalui Tarbiyah Dzatiyah dengan mendekatkan diri kepada Allah serta menghidupkan sunnah baginda SAW.

Tarbiyahlah dirimu

Jiwa muslim itu bukan hanya dibina melalui tarbiyah secara jama’iyah atau secara berkumpulan sahaja. Seseorang yang bergelar muslim harus mempunyai kesedaran bahawa mereka juga harus mentarbiyah diri mereka sendiri. Tarbiyah yang dimaksudkan ialah Tarbiyah Dzatiyah.


        Kita harus mentarbiyah atau mendidik diri kita terlebih dahulu supaya tunduk akan perintah Allah dan menyemai perasaan takut untuk berbuat maksiat kepadaNya sebelum kita mendidik orang lain. Ini sebagai langkah untuk menjaga diri kita dari terjerumus ke lembah kemurkaan Allah sekaligus mendapat azab yang pedih di dalam kubur dan di akhirat kelak. Sebelum kita memikirkan nasib orang lain di akhirat kelak, sewajarnya kita berusaha bagi menghindarkann diri kita dari terheret ke jurang neraka. Firman Allah yang bermaksud:

Hai orang-orang yang beriman jagalah diri dan keluarga kalian dari api neraka yang bahan bakarnya ialah manusia dan batu (At-Tahrim 66: 6)


        Selain mendapat sentuhan tarbiyah dari orang lain, diri kita juga harus mendapat didikan dari kita sendiri agar terus taat kepada Allah setiap masa baik ketika bersendirian atau sebaliknya. Cuba kita renungkan bersama. Adakah selamanya kita ingin bergantung harap kepada ibu-bapa, guru-guru, para asatizah dan rakan-rakan supaya mentarbiyah diri kita. Andaikan kelak kita berseorangan, adakah kita tegar melihat diri kita hidup tanpa tarbiyah? Justeru, kitalah yang harus memainkan peranan mentarbiyah diri sendiri agar lentera iman tidak mudah malap.

     Harus kita ketahui, sesungguhnya di akhirat nanti kita akan dihisab secara individu, bukan secara berkumpulan. Setiap individu itu akan dipersoal akan perbuatannya semasa di dunia. Ia bertanggungjawab atas segala perbuatan samaada yang buruk mahupun yang baik. Ini terbukti melalui firman Allah yang bermaksud:

Dan setiap mereka datang kepada Allah pada hari Kiamat dengan sendiri-sendiri. (Maryam:19:95)

Melalui Tarbiyah Dzatiyah, ia mampu mengingatkan kita akan hal ini. Tarbiyah Dzatiyah boleh dilakukan melalui muhasabah diri, menjaga amalan fardhu, memperbanyakkan amalan sunat. sentiasa menghindarkan diri dari melakukan maksiat serta cuba meninggalkan perkara yang makruh.

Rabu, 23 Januari 2013

Kau tetap dihati





Seindah matahari yang memancar terang 
Dikala siang
Memberi cahaya meliputi seluruh buana ini

Dulu dan selamanya kau tetap dihati
Walaupun kini kau tiada lagi
Selawat dan salam keatasmu nabi
Kekasih yang dirindui
 
Seindah bidadari yang menghuni syurga
Masih tak setara
Dikaulah semulia-mulia ciptaan Yang Maha Esa

Dulu dan selamanya kau tetap dihati
Walaupun kini kau tiada lagi
Selawat dan salam keatasmu nabi
Kekasih yang dirindui

Lagu ini ku cipta khas untukmu Ya Rasulullah...Sollu a'lan nabi

Lirik/Lagu: Sof Murabbi

Isnin, 31 Disember 2012

Selamat Tinggal 2012...


Pada pembukaan tahun 2013 ini, terdetik hati untuk berjinak-jinak kembali ke dunia penulisan. Namun saat ini masih belum muncul idea, “apa yang nak aku tulis?”

            Persoalan menerjah ruang fikiran, “mengapa tidak aku berkongsi memori indah bersama teman-teman?” Ya, tahun 2012 telah melabuhkan tirainya. Meskipun begitu, ia menyimpan pelbagai kenangan indah khususnya semasa berada di bumi sintok.

Kembara di bumi Beijing 27 Okt-2 Nov 2012
Band Nasyid Guidance- Sempat bergambar sebelum show bermula
Kenangan bersama pensyarah lama, Sir Fadhli (kiri) dan Ustaz Hasrizal @ Program Murabbi Cinta 
Alhamdulillah. Kelab Pentadbiran Muamalat menerima anugerah sebagai Badan Akademik Terbaik (COB)
dan Anugerah Projek Antarabangsa Terbaik