Sabtu, 15 September 2012

Kenali 4 Umar: Detik 916 Umar Mukhtar


Jika disebut 16 September  pasti ramai yang mengetahui tarikh keramat tersebut ialah peristiwa penting bagi rakyat Malaysia. Namun apakah kita mengetahui terdapat peristiwa lain yang berlaku pada tarikh yang sama. 16 September merupakan tarikh pemergian seorang pejuang Islam yang bernama Umar Mukhtar atau dikenali sebagai Singa Padang Pasir.

Rasa ingin tahu

Umar Mukhtar-Tokoh pejuang kemerdekaan
Hati saya berbisik, “siapa Umar Mukhtar ni?” Perasaan ingin tahu itu tercetus sewaktu emak memberitahu bahawa terdapat sebuah filem yang berkisarkan tentang sejarah pahlawan Libya itu. “ Semasa lawatan di Kedutaan Libya dulu, mak pernah tengok filem Umar Muktar ni. Masa tu masih student UKM lagi,” kata emak.

Bila layan Youtube, tiba-tiba terdetik nak tengok cerita tentang Umar Mukhtar. Namun line internet yang slow memudarkan semangat untuk terus menonton filem tersebut hingga ke hujung cerita. Mujur filem tersebut ditayangkan di TV Al-Hijrah pada februari lalu. Dapat juga mengetahui cerita dari pangkal hingga ke hujung kisah.

            Rasa ingin tahu akan sejarahnya tidak terhenti sekadar itu sahaja. Saya cuba mencari informasi mengenai sejarah kehidupannya di laman maya. Beliau merupakan seorang perwira yang tidak pernah mengenal erti kekalahan. Biarpun mati di tali gantung, namun beliau tetap mempertahankan prinsipnya. Seperti satu kata-kata “Biar hidup mulia, mati sebagai syuhada.” Bila mengenangkan perjuangannya, saya teringat satu kata-kata sahabat nabi kepada golongan kuffar, “kami mencintai syahid sebagaimana kamu mencintai hidup.”

Apa kaitan Singa Padang Pasir dengan Anthony Quinn?

Anthony Quinn


Bagi mengenang jasa Umar Mukhtar yang telah bermati-matian dalam membebaskan Libya dari cengkaman kuasa Itali, sebuah filem mengenainya telah diterbitkan. Kos pembikinan filem tersebut telah  ditanggung oleh kerajaan Libya. Pada masa itu Libya masih dipimpin oleh Muammar Gaddafi.

      Teraju utama bagi filem ini ialah Anthony Quinn yang memainkan watak sebagai Umar Mukhtar. Tanggapan awal saya sewaktu mula-mula menonton filem ini, Anthony Quinn ialah seorang yang bebangsa Arab yang beragama Islam. Namun sangkaan itu meleset. Beliau merupakan salah seorang  pelakon dari Hollywood. Teknologi yang canggih  berjaya merubah wajahnya seakan-akan seperti Umar Mukhtar. Ini menghidupkan lagi watak beliau sebagai  Lion of the Desert.

Lawan tetap lawan biarpun syahid di tali gantung.

916 dan tali gantung

Setelah bertahun-tahun bertempur dengan pihak Itali, akhirnya Umar Mukhtar telah ditangkap dan dihukum bunuh. 16 September 1931 telah menyaksikan Umar Mukhtar telah syahid di tali gantung. Peristiwa bersejarah itu disaksikan sendiri oleh penduduk negara Libya.

            Walaupun pejuang Islam itu dizalimi dan disakiti, namun namanya tetap segar di ingatan jutaan orang hingga ke hari ini. Berbanding dengan musuh yang telah menyakiti dan menghukum Umar Mukhtar, mungkin hanya beberapa orang sahaja yang masih mengenali dan mengingatinya. Sesungguhnya Allah telah mengangkat martabat orang-orang yang berjuang di jalanNya di mata manusia.

Khamis, 13 September 2012

Jauh terpisah


Cuba ku sembunyikan rasa gundah
Saat kita jauh terpisah
Terbayang wajahmu nan indah
Gigih berbakti tak mengerti lelah

Di bumi asing ini ku berdiri
Melalui hari tanpa kau disisi
Sungguhpun kau tak dapatku lihat
Namun masih terasa dekat

Dari jauh ku dengar suaramu
Bertanyakan diriku apa khabarmu
Aku disini sihat selalu
Ku harap kau jua begitu

Pesanmu mengubat lara di jiwa
Saatku  diuji ombak derita
Katamu teguhlah dalam perjuangan
Ada sinar menanti di hadapan

Ingin ku dakap erat tubuhmu
Agar terlerai rindu di kalbu
Akan ku kembali bila tiba waktu
Dengan izinNya pasti kita bertemu

Tajuk: Jauh Terpisah
Lirik/Lagu: Sof Murabbi

Sebuah lagi karya yang saya nukilkan khusus buat teman-teman yang berada di rantau orang. Kehidupan sebagai perantau sedikit sebanyak pasti menggamit rasa rindu kepada keluarga khususnya ibu dan ayah.

Saat kita bekerja atau belajar, kadang-kala terdetik rasa rindu kepada ibu dan ayah. Itulah tanda cinta dan kasih-sayang kita kepada mereka. Namun diharapkan rasa rindu itu bukanlah menjadi pelebur semangat bahkan menjadi penguat semangat bagi kita yang sedang berjuang mengejar cita-cita yang kita impi.


Adat orang berjuang baik yang masih menimba ilmu mahupun yang telah masuk ke alam pekerjaan pasti akan berhadapan dengan bermacam-macam rintangan. Susah dan senang itulah rencah kehidupan. Hidup takkan terasa nikmatnya andai kita hanya merasai perkara yang indah. Allah telah menjadikan pahit dan maung sebagai pelengkap rasa, mewarnai kehidupan sebagai seorang manusia.

Sebagai seorang anak, walau di mana pun kita berada sama ada dalam keadaan susah ataupun senang, kenanglah jasa dan bakti ibu-ayah kita yang selama ini dicurahkan demi melihat kebahagiaan anak-anak mereka di hari muka. Pulanglah bertemu dengan mereka walaupun sebentar. Sesungguhnya keprihatinan kita menandakan kita masih punya rasa sayang kepada mereka.

Isnin, 13 Ogos 2012

Hidayah Itu Perlu Diburu


Sejauh manakah
Kaki bisa melangkah
Tanpa hidayah
Dan jua inayah dari Allah

Apakah kau tegar
membiarkan saja
hatimu terus
terpalit noda

Mengapa hanya berpeluk tubuh
Menanti sinar hadir menyuluh
Sedangkan senja bakal berlabuh
Dedaunan kan kering dan luruh

Sampai bila harus begini
Tak terdetikkah untuk kembali
Usah hanya terpaku menunggu seru
Sesungguhnya hidayah itu perlu diburu

Tajuk: Hidayah Itu Perlu Diburu
Lirik/Lagu: Sof Murabbi

 
Alhamdulillah di bulan Ramadan ini, idea untuk menghasilkan karya datang mencurah-curah. Sebenarnya saya masih bertatih dalam bidang penghasilan lirik lagu khususnya lagu-lagu yang berunsurkan ketuhanan dan nasyid. Banyak lagi yang perlu dipelajari dalam meningkatkan mutu penulisan.

Idea mula tercetus saat saya terbaca sebuah artikel berkenaan dengan hidayah atau petunjuk. Artikel itu menyatakan bahawa hidayah itu merupakan hak Allah. Dia hanya memberi kepada insan-insan yang terpilih. 

Sesiapa yang menginginkan hidayah dari Allah maka hendaklah dia berusaha mencarinya dengan penuh kesungguhan. Hidayah takkan datang sekiranya kita hanya menunggu tanpa berbuat apa-apa. Ibarat menunggu rezeki turun dari langit walhal tiada sebarang usaha yang dilakukan. 

Justeru, saya mencipta lagu ini untuk sama-sama kita sedar bahawa sinar hidayah takkan muncul andai kita tidak berusaha mencarinya. Sekiranya kita terpilih mengecapi hidayah maka jagalah ia sebaiknya agar Allah tidak mencabut hidayah dari hati kita.

Khamis, 9 Ogos 2012

Disapa Tarbiyah


Dalam kesamaran aku berlayar
Tak sedar haluan  jauh tersasar
Ralit dalam nikmat yang sebentar
Terlupa pada tujuan sebenar

Cahaya iman semakin malap
Ruangan kalbu menjadi gelap
Ketenangan pergi dan lenyap
Resah gelisah  hadir menghinggap

Dihujung jahiliyah ku temui hidayah
Menuntun langkah ke pintu maghfirah
Terusik  tika disapa tarbiyah
Tenteram dalam dakapan sakinah

Kalam suci terapi diri
Merawat derita hati ini
Kekosongan kian terisi
Jiwa yang gersang subur kembali

Setulus doa daku panjatkan
Mengemis kasih dan pengampunan
Beriku kekuatan agar tidak tewas
Oleh amukan ombak nafsu yang ganas

Moga bahtera yang ku kemudi
Tidakkan tersesat lagi
Selamat berlayar ke destinasi
Kembara menuju redha Ilahi

Tajuk: Disapa Tarbiyah
Lirik/Lagu: Sof Murabbi

Ahad, 29 Julai 2012

BBQ D'Ramadan

 
Fasa pertama dalam bulan Ramadan iaitu fasa pemberian rahmah bakal berakhir.  Malam yang ke sembilan di bulan Ramadan, selepas tarawih saya dan keluarga mengambil kesempatan melakukan aktiviti santai iaitu memanggang BBQ. Sekadar mengisi masa lapang bersama keluarga. Mudah-mudahan hubungan kami bertambah erat.

Kenangan di malam Ramadan
Telatah anak saudara yang comel
Lagak anak saudara
BBQ Ayam
Siap untuk dimakan
Mmm...enaknya


Rabu, 25 Julai 2012

Iftar Didahulukan, Solat Diutamakan


Tersandar seketika di sofa. Oleh kerana perut telalu kenyang, tubuh terasa berat untuk menunaikan solat sedangkan waktu magrib hampir luput. Namun mulut masih belum berhenti mengunyah sambil menikmati rancangan di televisyen. Belum sempat nasi dihadamkan, makanan lain pula disumbatkan ke dalam mulut. 

Itulah situasi yang sering berlaku kepada segelintir masyarakat seusai iftar (berbuka puasa). Mungkin hal yang sama pernah berlaku dalam kehidupan kita di bulan Ramadan yang berbahagia ini.

Kelaziman masyarakat, setelah kedengaran azan maghrib mereka akan berbuka dengan pelbagai juadah dan hidangan seperti nasi, kuih muih dan sebagainya selain dari buah kurma. Akibat terlalu banyak mengambil makanan, perut menjadi kenyang lalu kelewatan untuk mengerjakan solat maghrib. 



Bermula dari tahun yang lepas, saya sekeluarga cuba lari dari kelaziman tersebut. Kami berbuka dengan buah kurma dan air seperti mana yang pernah dilakukan oleh Rasulullah. Sejurus selepas solat magrib berjamaah di surau baru kami akan menikmati hidangan yang berat seperti nasi dan sebagainya. 

Pesan ayah, “cuba kita mencontohi amalan Rasulullah yakni berbuka dengan buah kurma dan air sahaja. Selepas solat baru kita makan makanan yang lain.” Saranan itu berjaya mengelakkan kami dari melengahkan sembahyang.


Alhamdulillah di masjid, para jamaah turut mengikuti jejak langkah kami atas saranan ayah. Saya percaya, masyarakat hari ini juga mampu berubah dari kebiasaan kepada mengikuti amalan sunnah nabi sewaktu berbuka. Kesedaran dan kefahaman yang jelas harus dibentuk agar perubahan dapat direalisasikan. “Iftar didahulukan, solat diutamakan.”

Sabtu, 21 Julai 2012

Dia kembali

“Nama saya syaa’ban. Saya ingin mengingatkan anda bahawa jiran saya iaitu Ramadan akan datang mengunjungi anda tidak lama lagi bersama isterinya iaitu rezeki dan kedua-dua anaknya iaitu sahur dan iftar. Mereka akan ditemani  oleh ketiga-tiga cucunya iaitu rahmat, barakah dan keampunan. Mereka akan pulang selepas 30 hari dengan menaiki pesawat penerbangan Eidul Airlines. Jadi hargailah mereka moga-moga mendapat pahala yang berganda.” Tersenyum saya apabila membaca mesej (sms) daripada seorang sahabat sehari sebelum bermulanya Ramadan. Saya membalas sambil berjenaka,”Bapa mertua dia tak ikut sekali ke?”
Menjelang Ramadan bermacam-macam mesej yang diterima mengikut kretiviti penulisan masing-masing. Ada yang menulis seperti sajak, pantun, analogi dan pelbagai bentuk yang lain. Namun apa yang cuba disampaikan tidak banyak bezanya. Semuanya menjurus kepada peringatan agar bersedia menyambut Ramadan.

Ramadan kembali lagi. Di bulan keberkatan inilah seharusnya kita mengisi ruang waktu dengan memperbanyakkan ibadah dan mengikis karat-karat jahiliah yang selama ini telah mengotorkan jiwa. Tingkatkan ibadat dan jauhi segala maksiat.
Saya tertarik dengan satu kata-kata. “Ramadan ini merupakan kem latihan. Tempat kita mengumpul kekuatan jiwa dan belajar bagaimana mengawal nafsu yang ganas.” Apabila keluar dari bulan Ramadan diharapkan kita dapat mengekalkan momentum sedia ada. Bukannya kembali ke tabiat yang lama iaitu kian culas melakukan ibadat dan sering mengikut kehendak nafsu amarah.
Semoga Ramadan kali ini lebih baik dari bulan Ramadan yang lalu. Jadikan Ramadan kali ini sebagai satu medium untuk kita mengislahkan diri menjadi mukmin bertaqwa.