Khamis, 31 Januari 2013

Tak peduli? Kenapa?

Muslim yang mengabaikan Tarbiyah Dzatiyah adalah muslim yang tidak mengambil berat tentang kepentingan tarbiyah tersebut. Mereka terlupa bahawa syaitan sentiasa melakukan serangan bertubi-tubi agar manusia mengingkari arahan Allah. Persekitaran yang sarat dengan maksiat menjadi ancaman kepada iman. Ceteknya ilmu tentang kepentingan beramal salih menyebabkan timbulnya rasa tidak peduli akan Tarbiyah Dzatiyah. Sedangkan ia adalah perisai bagi menghadapi tribulasi masa kini.   

            Selain itu, tujuan hidup yang kabur menyebabkan sesetengah individu mengabaikan tarbiyah terhadap diri sendiri. Mereka meletakkan kemewahan dan kesenangan dunia sebagai matlamat utama. Mereka mengejar wang, pangkat dan lain-lain bagaikan perjalanan hidup ini tiada penghujung. Mereka terlupa bahawa tujuan hidup mereka adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah sepertimana firmanNya di dalam surah Adz Dzariyat ayat yang ke-56. Diri kian hanyut tanpa ada pembersihan jiwa, penambahbaikan dan pembinaan diri ke arah menjadi muslim yang bertaqwa. 

            Terdapat golongan yang gagal melakukan tarbiyah kepada diri sendiri lantaran kesibukannya melakukan perkara yang lain. Hatinya dihinggapi cinta akan dunia. Mereka mencurahkan tenaga, waktu, pemikiran dan sebagainya untuk dunia semata-mata. Mereka terlalu sibuk dengan pekerjaan, keluarga dan sebagainya sehingga mengabaikan keperluan diri sendiri iaitu tarbiyah. 


            Ada juga insan yang berkata “janji dah buat yang wajib.” Mereka merasa cukup dengan ibadah fardhu yang mereka kerjakan seperti solat lima waktu, membayar zakat, puasa dan ibadah-ibadah wajib yang lain. Lantas timbul perasaan tidak perlu kepada amalan-amalan sunat seperti zikir, solat dhuha, membaca Al-Quran dan sebagainya. Seterusnya membawa kepada rasa tidak peduli akan Tarbiyah Dzatiyah.




            Panjang angan-angan juga menjadi punca seseoarang mengabaikan Tarbiyah Dzatiyah. Mereka tertipu dengan permainan syaitan yang sentiasa mengajak manusia ke arah kesesatan. Syaitan selalu berbisik kepada anak Adam “mengapa harus terburu-buru mentarbiyah diri dan istiqamah melakukan ketaatan kepadaNya, sedangkan masa masih panjang? Tunggulah masa lapang dari segala kesibukan duniamu. Barulah mudah untuk engkau beribadah.” Kerana termakan hasutan syaitan laknatullah, manusia menjadi lalai dari mengingati Allah. Mereka diulit mimpi dunia yang mengasyikkan sehingga terlupa kepada kematian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan