Selasa, 29 Januari 2013

Tarbiyahlah dirimu

Jiwa muslim itu bukan hanya dibina melalui tarbiyah secara jama’iyah atau secara berkumpulan sahaja. Seseorang yang bergelar muslim harus mempunyai kesedaran bahawa mereka juga harus mentarbiyah diri mereka sendiri. Tarbiyah yang dimaksudkan ialah Tarbiyah Dzatiyah.


        Kita harus mentarbiyah atau mendidik diri kita terlebih dahulu supaya tunduk akan perintah Allah dan menyemai perasaan takut untuk berbuat maksiat kepadaNya sebelum kita mendidik orang lain. Ini sebagai langkah untuk menjaga diri kita dari terjerumus ke lembah kemurkaan Allah sekaligus mendapat azab yang pedih di dalam kubur dan di akhirat kelak. Sebelum kita memikirkan nasib orang lain di akhirat kelak, sewajarnya kita berusaha bagi menghindarkann diri kita dari terheret ke jurang neraka. Firman Allah yang bermaksud:

Hai orang-orang yang beriman jagalah diri dan keluarga kalian dari api neraka yang bahan bakarnya ialah manusia dan batu (At-Tahrim 66: 6)


        Selain mendapat sentuhan tarbiyah dari orang lain, diri kita juga harus mendapat didikan dari kita sendiri agar terus taat kepada Allah setiap masa baik ketika bersendirian atau sebaliknya. Cuba kita renungkan bersama. Adakah selamanya kita ingin bergantung harap kepada ibu-bapa, guru-guru, para asatizah dan rakan-rakan supaya mentarbiyah diri kita. Andaikan kelak kita berseorangan, adakah kita tegar melihat diri kita hidup tanpa tarbiyah? Justeru, kitalah yang harus memainkan peranan mentarbiyah diri sendiri agar lentera iman tidak mudah malap.

     Harus kita ketahui, sesungguhnya di akhirat nanti kita akan dihisab secara individu, bukan secara berkumpulan. Setiap individu itu akan dipersoal akan perbuatannya semasa di dunia. Ia bertanggungjawab atas segala perbuatan samaada yang buruk mahupun yang baik. Ini terbukti melalui firman Allah yang bermaksud:

Dan setiap mereka datang kepada Allah pada hari Kiamat dengan sendiri-sendiri. (Maryam:19:95)

Melalui Tarbiyah Dzatiyah, ia mampu mengingatkan kita akan hal ini. Tarbiyah Dzatiyah boleh dilakukan melalui muhasabah diri, menjaga amalan fardhu, memperbanyakkan amalan sunat. sentiasa menghindarkan diri dari melakukan maksiat serta cuba meninggalkan perkara yang makruh.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan