Ahad, 3 Mac 2013

K.U.L.T.U.M

Terkenang sewaktu di bulan Ramadan yang lepas. Bila sebut sahaja tarawih, pasti adanya tazkirah. Alhamdulillah sejak beberapa tahun yang lalu, penyampaian tazkirah di surau kampung saya telah menjadi satu kelaziman sebagai santapan rohani di bulan Ramadan. Seusai empat rakaat yang pertama dalam solat sunat tarawih, masa diisi dengan penyampaian ilmu dan nasihat. Biarpun hanya beberapa minit, namun diharapkan ianya dapat meresap ke dalam jiwa para pendengar.


            Pengisian tazkirah itu tidak terhenti setakat dalam bulan Ramadan sahaja. Setelah pulang ke kampus, saya berbincang dengan seorang sahabat untuk menghidupkan amalan memberi tazkirah selepas solat magrib di surau kolej kediaman kami. Bukan hendak berlagak alim atau pandai dalam agama, tapi sekadar untuk berkongsi ilmu yang kami tahu. Ia menjadi medan untuk kami menyebarkan ilmu dan saling memberi peringatan.

Majlis ilmu amat penting dalam membentuk keperibadian muslim sebenar-Gambar hiasan
            Saya masih ingat sewaktu di bangku sekolah, terdapat satu artikel yang menceritakan tentang Kultum atau Kuliah Tujuh Minit yang menjadi amalan masyarakat di Indonesia. Setiap kali selepas solat fardu, pasti akan ada seorang yang akan memberikan tazkirah pendek atau lebih dikenali sebagai Kultum. 

Antara buku yang boleh dijadikan bahan dalam penyampaian tazkirah atau Kultum
Pelbagai topik yang dibicarakan dalam masa tujuh ke sepuluh minit. Pengisian yang ringkas dengan kupasan topik yang berbeza setiap kali sesudah solat berjaya mengelakkan para jemaah berada dalam  zon “bosan” dan “gelisah”. Cuba bayangkan jika setiap kali selepas solat para jemaah dihidangkan dengan ilmu-ilmu yang belum diketahui sebelum ini, berapa banyak ilmu baru yang boleh dikutip?

Justeru, saya cuba membawa pendekatan yang lebih kurang sama dengan Kultum. Bagi saya, biar pengisian tazkirah itu ringkas namun sarat dengan ilmu yang berguna dan pelbagai seterusnya memberi kesan yang mendalam di hati para pendengar. Semoga kalian yang membaca dapat menghidupkan perkara yang sama di tempat anda sama ada di surau atau di masjid.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan